Tuesday, October 30, 2012

KAEDAH MEMBUAT BAJA KOMPOS

BAJA KOMPOS DIPERBUAT DARIPADA SISA BUANGAN DAPUR
SEPERTI KELAPA,NASI,SAYUR ,KULIT TELUR DSBNYA.

BAJA KOMPOS – KITAR SEMULA BAHAN SISA MAKANAN

Baja kompos adalah sebagai alternatif untuk membuat ‘sampah yang mesra alam’ di rumah-rumah dan apartmen serta djadikan baja untuk tanaman. Dalam bidang pertanian, baja kompos adalah teknik penyediaan media tanaman untuk meningkatkan kualiti tanaman dan kesuburan tanah tetapi masih mengekalkan kelestarian alam semulajadi.

Cuma lewat era milenium ini pelbagai teknologi pembuatan sintetik muncul dengan penggunaan bahan kimia yang lebih mudah dikendalikan dan dapat meraih hasil yang banyak pada masa yang singkat. Penggunaan bahan kimia tidak dinafikan memberikan impak dan memendekkan tempoh tuai, namun untuk jangkamasa lama akan meninggalkan pengumpulan sisa kimia dalam tanah, akibatnya kualiti tanah menurun dan menjejaskan kualiti hasil tuaian. Lama kelamaan keadaan ini memaksa penggunaan bahan kimia yang lebih pekat, kerap atau pelbagai.
Salah satu cara yang selamat untuk menjamin keseragaman dan kualiti media yang digunakan adalah menggunakan baja kompos. Media tanaman kompos bermacam ragam dan nisbah campuran, biasanya mengikut jenis tanaman dan keperluannya. Bahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan baja kompos adalah sisa buangan makanan seperti nasi, sayur, roti dan boleh dikatakan setiap sisa bahan makanan kita boleh dikitar semula dan dijadikan baja kompos yang jauh lebih murah, selamat dan meningkatkan fungsi biologi tanah. Ia kelihatan mudah tetapi merupakan aspek yang kita terlepas pandang dalam ketamadunan hari ini.
Penggunaan baja kompos dapat menyuburkan tanah dengan meningkatkan kesihatan tanah melalui tindakan mikro organisma atau cacing selain membantu meningkatkan kandungan nutrien dalam tanah kepada bentuk lebih ringkas yang mudah diserap oleh tumbuhan untuk pertumbuhan yang sihat.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dilaporkan pada 2008,  makanan yang terbuang adalah menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya adalah makanan terbuang. Situasi seperti ini perlu dihentikan segera dan tidak sepatutnya dibiarkan terus berlaku di negara kita, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berhadapan krisis kekurangan makanan ini biarpun rakyat di negara ini hidup dalam keadaan yang cukup mewah dan belum diuji dengan kekurangan makanan serius.

CARA MEMBUAT BAJA KOMPOS
  1. Pelbagai jenis sisa bahan makanan seperti sayur, beras,roti di kumpulkan.
  2. 1 kg Gula Merah dibancuh dengan 1 liter Air dijadikan sebagai Air Larutan Gula Merah setakat cukup untuk membasahkan sisa bahan makanan apabila digaul.
  3. Sejemput Kapur – iaitu Kalsium Karbonat dibancuh dengan sedikit air secukupnya .
  4. Sebotol minuman Yakult
Nota:
  1. Jika Di Pasar ada banyak daun sayur yang masih hijau dibuang, boleh diambil dengan percuma. Daun kering dan rumput yang di potong juga boleh digunakan.
  2. Fungsi Kapur ialah supaya wujudnya kepanasan dalam adunan bagi bakteria bertindak cepat meleraikan bahan-bahan organan (nutrients) yang terdapat dalam daun-daun yangdiperam/jeruk itu supaya menjadi air baja. Penggunaan kapur ini tidak boleh terlalu banyak, gunakan sedikit saja secara asal ada sahaja.
  3. Calcium Carbonate atau serbuk kapur yang digunakan untuk memplaster batu-bata dinding rumah. Kapur sirih juga boleh digunakan.
  4. Tong takungan pemeraman hendaklah diletak di tempat yang tidak terkena terus cahaya mata hari kerana kesan kepanasan cahaya mata hari boleh mematikan bakteria. Peranan bakteria ialah sebagai pelerai organan dari bahan sisa yang dijeruk-peram. Lebih banyak bakteria hidup berada dalam bahan yang diperam itu akan lebih berkualiti baja itu.
Cara Memproses:
  1. Semua sisa makanan yang dikumpul dicincang dan digaulkan kemudian di masukkan ke dalam satu tong takungan.
  2. Bancuh 1 kg Gula Merah dengan 1 liter Air dan gaul dengan bahan yang dicincang tadi dengan Air Larutan Gula Merah ini.
  3. Gaulkan adunan dengan sedikit (sejemput) kapur – Kalsium Karbonat .
  4. Tuang sebotol minuman Yakult dan digaul adunan menjadi rata.
  5. Tutup tong supaya adunan terperam selama 14 hari.
  6. Jika anda inginkan organik anda kering, campurkan ianya dengan tanah biasa sebelum digunakan untuk pembajaan.
Nota:
Proses kompos akan berlaku lebih cepat jika di lakuakan pada musim panas. Mengikut pengalaman saya proses akan mengambil masa 7 hari sahaja pada musim panas. Produk kompos yang terhasil dengan sempurna akan kelihatan seperti tanah gembur kehitaman dan berbau segar. Sepanjang proses jeruk-peram, ia akan mengeluarkan sedikit bau yang kurang menyenangkan, dari itu kita perlu sentiasa menutup kemas tong takungan dan sekali-sekala kita perlu mengaulkan bahan tersebut mengunakan skop atau sudip bagi mesebatikan adunan bagi menghasilkan produk kompos yang berkualiti.

Setelah baja kompos yang terhasil anda gunakan pada tanaman. Anda pasti akan  berpuas hati pada produk tanaman anda dari segi saiz dan kualitinya. Sebab itulah para petani mengelarkannya ‘Emas Hitam’

Sebagai kesimpulannya, kita seharusnya tidak mementingkan diri sendiri. Kita harus fikirkan kesejahteraan hidup generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil tindakan yang kita buat hari ini. Adalah menjadi harapan agar setiap individu mula mencerminkan diri. Sudah tiba masanya kita melihat sisa bahan makanan sebagai satu tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Hakikatnya, kita semua harus bertanggungjawab mengendalikan sisa bahan makanan secara lebih berhemah agar alam sekitar kita berkekalan bersih, nyaman dan segar untuk didiami.

“SELAMAT BERKOMPOSTER”

Disediakan Oleh : Shahruddin Rashid, Bahagian Perancangan Wilayah

No comments:

Post a Comment